PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju memberi kelonggaran kepada penyedia perkhidmatan bercukai di bawah peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk mengemukakan penyata secara manual bagi tempoh bercukai dari 1 Julai hingga 30 September 2025.
Kementerian Kewangan (MoF) berkata, kelonggaran itu diberikan selepas mengambil kira maklum balas dan permohonan diterima daripada industri yang memerlukan masa tambahan untuk menaik taraf sistem bagi pematuhan dan pengenaan cukai.
“Kerajaan Madani cakna terhadap persediaan pentadbiran yang perlu dilaksanakan oleh penyedia perkhidmatan bercukai di bawah peluasan skop SST mulai 1 Julai 2025.
“Mengambil kira maklum balas dan permohonan diterima daripada industri mengenai kesukaran mematuhi kesemua keperluan operasi di bawah perubahan SST, MOF bersetuju memberi kemudahan kepada pihak industri dalam tempoh peralihan perubahan SST.
“Bagaimanapun, Cukai Perkhidmatan (CP) masih wajib dikenakan dan dikutip dalam tempoh tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.
Dalam pada itu, MoF berkata, pendaftaran awal secara sukarela telah dibuka oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk membolehkan pengilang mendaftar lebih awal sebelum pelaksanaan.
Menurut MoF, pengilang yang telah berdaftar diwajibkan mengenakan dan mengutip Cukai Jualan (CJ) bermula 1 Julai 2025 dan layak memohon pengecualian ke atas bahan mentah yang digunakan dalam pengilangan barang bercukai.
Selain itu, kata MoF, syarikat yang telah menerima pengecualian CJ melalui Jawatankuasa Pengecualian Cukai (JPC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebelum 1 Julai 2025 akan terus menikmati pengecualian cukai tersebut.
“Tertakluk kepada tempoh dan syarat yang telah ditetapkan,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE