AMPANG JAYA – Hanya kerana tidak berpuas hati dengar bunyi hempasan pintu bilik air, seorang komposer yang juga gitaris menyerang rakan serumahnya dengan batang besi dalam kejadian di Pandan Indah, di sini baru-baru ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa yang bekerja sebagai tukang masak berusia 52 tahun mendakwa sedang tidur sebelum terjaga selepas terdengar bunyi kuat dari arah bilik air.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, lelaki itu keluar dan menghempas semula pintu bilik air kerana tidak berpuas hati dengan kejadian tersebut.
“Tidak lama kemudian suspek keluar dari biliknya sambil membawa batang besi dipercayai pemegang gitar lalu memukul mangsa sehingga cedera di tangan.
“Berlaku pertengkaran mulut antara mereka sebelum suspek mengugut akan membawa kawannya untuk mencederakan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kejadian itu, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya menahan suspek berusia 46 tahun yang juga pemuzik kira-kira pukul 4.45 petang, 2 Julai lalu di lokasi kejadian.

Menurut Mohd. Azam, polis merampas pemegang gitar berwarna hitam dipercayai digunakan semasa kejadian.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas pengaruh dadah dan tiada rekod jenayah.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat perselisihan lama berhubung bunyi bising alat muzik yang dimainkan suspek yang turut mengganggu waktu rehat mangsa walaupun ditegur beberapa kali,” jelasnya.
Tambahnya, suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas percakapannya dirakam pada hari sama tangkapan dibuat. Kes disiasat di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE