BANGKOK – Seorang pemandu mengaku kepada polis bahawa dia tertidur semasa memandu sebelum berlanggar dengan kenderaan lain di Pattaya, lapor portal berita The Pattaya News semalam.
Pemandu dikenali sebagai Jetsadakorn, 34, itu sedar daripada tidur hanya selepas keretanya bertembung dengan kenderaan lain dan terbalik, pada Rabu lalu.
Sebuah kenderaan Mitsubishi hitam yang didaftarkan di Bangkok mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kanan dan dipandu oleh seorang wanita dikenali sebagai Sumalee, 32.
Kenderaan ketiga, Honda Jazz hitam juga didaftarkan di Bangkok, rosak di bahagian sisi selepas terlibat dalam nahas itu yang berlaku pada pukul 11.30 malam (waktu tempatan).
Sumalee menjelaskan kepada pemberita bahawa kereta yang dipandunya bersiap untuk membelok ke kanan dengan lampunya menyala.
Dia kemudian melihat kereta Yaris dipandu Jetsadakorn menuju ke arahnya.
Yaris itu melanggar kenderaannya menyebabkan ia hilang kawalan dan terbalik.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan polis akan memeriksa rakaman sistem kamera televisyen tertutup (CCTV) dalam siasatan mereka. – AGENSI