fbpx

‘Rokok dadah’ RM80 sebatang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Farid (kanan) menunjukkan tembakau yang digunakan suspek sebelum membungkusnya dalam bentuk rokok.

SERDANG – Kegiatan sepasang kekasih menjadikan kondominium sebagai makmal mini untuk memproses dadah sebelum dibungkus dalam bentuk rokok dan dijual RM80 sebatang di sekitar Lembah Klang dibongkarkan pihak berkuasa.

Ini selepas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Serdang menerusi Ops Tapis pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dan kekasihnya, wanita Vietnam berusia 33 tahun di kondominium itu yang disewa RM1,100 hingga RM1,700 sebulan.

“Pasangan ini dipercayai menghasilkan ‘rokok dadah’ secara sistematik dan menjual kepada pelanggan tetap termasuk di pusat hiburan sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini hari ini.

Menurut Muhamad Farid, rampasan dadah bernilai RM2 juta itu boleh merosakkan 10,430 individu sekiranya terlepas ke pasaran.

Dadah yang dirampas termasuklah 10.07 kilogram daun kering disyaki dicampur methamphetamine, 240 batang rokok mengandungi tembakau bercampur syabu serta 610 gram syabu.

“Turut dirampas dua botol kaca mengandungi cecair methamphetamine, mesin elektrik untuk membuat rokok dan lima kotak berisi 120 batang rokok kosong yang digunakan untuk tujuan pembungkusan,” katanya.

Siasatan awal mendapati suspek mencampurkan cecair dadah daripada botol berwarna putih dan perang ke dalam tembakau sebelum digulung dijadikan rokok menggunakan mesin khas.

Hasil saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine dan amphetamine selain mempunyai lima rekod jenayah.

Pasangan itu direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI