SHAH ALAM – Taklimat khas berhubung insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya akan dilaksanakan sempena sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Isnin depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, taklimat itu dianjurkan khusus kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) sama ada di blok kerajaan atau pembangkang.
“Saya memohon Speaker DUN Selangor dapat memberi ruang untuk menjelas dan menerangkan berhubung isu itu.
“Kerajaan negeri berdiri atas prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan akauntabiliti. Kita menjunjung penuh prinsip dan mandat rakyat,” katanya ringkas menerusi Facebook (FB) rasmi beliau, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis mengesahkan tiada sebarang unsur kecuaian, sabotaj atau khianat berhubung insiden letupan saluran paip gas milik Petronas itu pada 1 April lalu.
Susulan itu, kes diklasifikasikan sebagai tiada lanjut (NFA), namun akan dibuka semula sekiranya terdapat bukti atau penemuan baharu.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menerusi hasil siasatan teknikal mendapati faktor tanah lembut dan lembap di bawah laluan paip bertekanan tinggi dikenal pasti punca insiden itu. – KOSMO! ONLINE