PETALING JAYA – Perkhidmatan tren di Laluan Kelana Jaya kembali beroperasi seperti biasa pada jam 10.22 pagi tadi selepas mengalami gangguan sementara susulan insiden pencerobohan landasan awal pagi ini.
Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) berkata, gangguan perkhidmatan bermula sekitar jam 8.02 pagi apabila seorang individu dilaporkan menceroboh masuk ke kawasan landasan di Stesen Subang Alam.
Menurut maklumat awal, lelaki berkenaan dipercayai cuba mencederakan diri sendiri dengan melompat ke atas landasan ketika sebuah tren sedang menghampiri platform.
Pasukan penyelamat terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan ke lokasi.
“Mangsa berjaya diselamatkan namun mengalami kecederaan parah dan telah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan lanjut.
“Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden tersebut, dan Rapid Rail memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rapid Rail turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami penumpang sepanjang tempoh gangguan dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua pihak. – KOSMO! ONLINE