fbpx

Kelab Liga M semakin banyak pilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain kini memiliki standard kualiti yang lebih tinggi dan tidak mengenakan gaji yang mahal membolehkan pasukan bersaing mempunyai banyak pilihan.

PASUKAN Liga Malaysia (Liga M) tidak perlu berbelanja lebih daripada kemampuan untuk mendapatkan pemain berkualiti kerana ramai tonggak ‘gred A’ dengan permintaan gaji berpatutan masih ramai untuk ditandatangani menjelang saingan musim baharu kali ini.

Pandangan itu disuarakan oleh ejen bola sepak tempatan, Dr. Faidauz Azhar yang menyifatkan banyak kelab ketika ini terdesak untuk mengawal kewangan dengan lebih berhemah, tetapi dalam masa sama dapat membentuk skuad kompetitif.

“Kalau kita tengok, ramai pemain yang berkualiti sebenarnya tidak meletakkan harga yang tinggi untuk memastikan mereka tetap beraksi di Liga M.

“Ini kerana, sekarang sudah banyak pasukan yang berbelanja ikut bajet dan kemampuan, tidak lagi berbelanja sesuka hati, tetapi masih boleh mendapatkan pemain berkualiti.

“Saya lihat sekarang jurulatih-jurulatih kelab Liga Super sebenarnya ada lebih pilihan pemain berbanding musim-musim terdahulu kerana sebelum ini kalau gaji yang rendah, pilihan pemain yang ada mesti ‘suam-suam kuku sahaja’.

“Namun, sekarang sudah berbeza, pemain-pemain dah ramai yang berkualiti dan mereka juga kena bersaing lebih baik,” kata Faidauz yang turut menjadi ejen berdaftar dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sebagai rekod, tempoh perpindahan pertama Liga M telah dibuka bermula 9 Jun hingga 31 Ogos 2025, manakala jendela kedua akan berlangsung dari 5 Januari hingga 1 Februari 2026.

Sebanyak 13 pasukan telah sah beraksi dalam saingan Liga Super musim depan termasuk tiga pendatang baharu, Brunei DPMM FC, Imigresen FC dan Melaka FC.

Tirai Liga M akan dibuka secara rasmi pada 8 Ogos depan melibatkan aksi Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI