KLANG – Tindakan sebuah kapal tangki mempunyai 62,000 liter diesel bernilai lebih RM200,000 tanpa sebarang dokumen sah mengundang padah apabila ditahan kira-kira satu batu nautika barat Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, semalam.
Perkara itu terbongkar kira-kira pukul 1.30 tengah hari sewaktu rutin rondaan dilakukan Maritim Malaysia (APMM).
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati kapal terbabit dikendalikan oleh seorang kapten bersama enam kru berusia 21 hingga 51 tahun yang kesemuanya merupakan warga Indonesia.
Katanya, mereka juga mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap.
“Bagaimanapun, hasil pengeledahan ke atas kapal berkenaan telah menemui sejumlah minyak diesel dianggarkan sebanyak 62,000 liter bernilai RM 204,600.
“Kapten kapal juga gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk membawa barang kawalan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan kapal itu baharu bersauh sehari di lokasi berkenaan dan akan berlayar ke pelabuhan bagi mengisi bekalan kapal.
Tegas Abdul Muhaimin, perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dengan kapten kapal bersama seorang pengawai jurutera telah ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.
Kes akan disiasat di bawah Akta kawalan bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE