fbpx

‘Kalau nak cerai, bayar RM50,000 buat modal kahwin baharu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – “Kalau nak cerai, bayar RM50,000.”

Itulah ‘syarat’ yang dikenakan seorang suami terhadap isterinya sewaktu wanita itu memohon untuk bercerai kononnya atas arahan mahkamah.

Peguam syarie, Fahmi Ramli berkata, hakikatnya, tiada peruntukan dalam undang-undang syariah yang mewajibkan isteri membayar wang tebus talak sebanyak itu secara automatik.

Fahmi yang menceritakan pertemuannya dengan seorang wanita di luar Mahkamah Syariah baru-baru ini berkata, si isteri keliru dan kelihatan sedih apabila menyatakan suaminya menuntut RM50,000 sebagai syarat penceraian.

“Datangnya dengan penuh sedih dan marah dalam satu masa selepas keluar daripada dewan mahkamah. Ketika itu saya sedang menanti klien kerana perbicaraan kes saya ditetapkan pada pukul 11 pagi.

“Dia tegur saya di kerusi luar mahkamah “Assalamualaikum tuan, saya kenal tuan. Saya Follow tuan di Facebook dan TikTok. Saya nak tanya tuan, memang betul ke kalau isteri minta cerai, dia kena bayar RM50,000?”,” kongsinya menerusi catatan di kumpulan Telegram.

Fahmi berkata, tindakan suami meletakkan syarat wang tebus talak dalam jumlah yang tidak munasabah kini semakin kerap berlaku.

Jelasnya, ada kes di mana isteri membayar sehingga RM20,000 semata-mata untuk dilepaskan, tetapi akhirnya merungut sistem undang-undang Islam tidak adil, sedangkan keputusan itu dibuat tanpa rujukan yang tepat.

“Tapi kan, memang ramai isteri diluar sana yang rasa benda ini betul. Ada yang kena tipu dengan suami, kalau nak cerai boleh, bayar RM10,000, RM20,000 dan ada yang sampai RM100,000.

“Ramai suami mintak jumlah tak munasabah seolah-olah itu adalah ganti rugi kerana isteri mintak cerai. Bila disoalkan, apa kerugian yang ditanggung, ungkit bab nafkah yang diberi. Bila ditanya berapa jumlah mas kahwin, hanya RM100 sahaja, hantaran pun RM2,500,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata perceraian tebus talak mesti dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan jika suami tidak setuju dengan jumlah yang ditawarkan atau isteri tidak mampu membayar, mahkamah tidak boleh memaksa mana-mana pihak.

Sebaliknya, katanya, kes akan dibawa kepada Jawatankuasa Pendamai sebagaimana diperuntukkan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam.

Fahmi menasihatkan para isteri supaya lebih peka dan tidak mudah tunduk kepada tekanan suami yang mengambil kesempatan.

“Tebus talak bukan paksaan, dan bukan medan untuk suami kaut keuntungan. Jika tidak mampu atau tidak rela, isteri berhak memilih jalan perceraian lain seperti fasakh atau taklik,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI