fbpx

JAIM kesal pengurusan masjid halang pengebumian suami isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah suami isteri dikebumikan di Tanah Perkuburan Bidadari selepas pihak pengurusan masjid di Ayer Keroh menawarkan bantuan dan lokasi pengebumian.

JASIN – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kesal dengan sikap pengurusan masjid di daerah ini yang didakwa tidak membenarkan jenazah pasangan suami isteri terlibat nahas dikebumikan di kariah itu atas alasan mangsa adalah penduduk luar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana sifat perikemanusiaan menjadi perkara utama diambil kira berbanding ‘peraturan’ apabila melibatkan urusan kematian.

“Saya mahu mengingatkan bahawa walaupun menjadi kebiasaan tanah perkuburan masjid digunakan untuk anak kariah, namun tiada peraturan khusus melarang pengebumian orang luar dan jawatan kuasa masjid perlu guna budi bicara.

“Jangan menyusahkan waris pada saat-saat begini, apatah lagi ketika mereka berdepan kesedihan kerana pasangan itu terlibat dalam kemalangan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, kerajaan negeri menyediakan Tanah Perkuburan Islam Bidadari untuk pengebumian jenazah luar kariah terutama jika tanah wakaf masjid telah penuh.

“Kalau ada masjid yang tidak cukup kawasan tanah perkuburan, JAIM akan bantu mendapatkan kawasan baharu sama ada menggunakan tanah wakaf sedia ada atau guna dana untuk membeli tanah di kawasan yang sesuai,” katanya.

Rahmad

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai jenazah pasangan suami isteri yang terpaksa dikebumikan di Tanah Perkuburan Bidadari, MITC, Ayer Keroh selepas terlibat dalam kemalangan pada 27 Jun lalu.

Situasi itu didakwa berlaku selepas pengerusi masjid di daerah ini menolak untuk memberikan kebenaran mengebumikan jenazah si isteri yang bukan anak kariah dan hanya membenarkan jenazah suaminya dikebumikan di kampung berkenaan walaupun mereka tinggal di Jasin.

Jenazah pasangan itu kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Bidadari selepas pihak pengurusan masjid di Ayer Keroh menawarkan bantuan dan lokasi pengebumian. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI