BATU PAHAT – Pemandu bas persiaran yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 80.7, Lebuh Raya Utara-Selatan, arah selatan berhampiran Yong Peng, Ayer Hitam malam kelmarin hingga meragut dua nyawa pekerja ladang warga Indonesia direman tiga hari di Mahkamah Majistret hari ini.
Perintah reman bermula hari ini sehingga Ahad depan ke atas pemandu berusia 35 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nurasidah A. Rahman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, kenderaan membawa suspek yang memakai berbaju T hitam tiba di mahkamah pada pukul 8.30 pagi sebelum diiringi anggota polis trafik, sebelum dilihat keluar sejam kemudian.
Dalam kejadian pada pukul 12.27 tengah malam itu, dua pekerja ladang maut manakala seorang lagi parah termasuk putus tangan kiri selepas bas persiaran merempuh belakang lori tangki yang sedang ditunda akibat kerosakan.
Nahas berlaku ketika bas terbabit membawa 45 pekerja ladang termasuk dua wanita yang baru tiba di Malaysia dari Lombok pada hari sama dari Sepang, Selangor dalam perjalanan ke ladang di Ulu Tiram, Johor Bahru.
Mereka yang maut ialah Hidirman, 43, dan Zulhadi, 44, manakala seorang lagi mangsa lelaki Nusiah, 43, putus tangan kiri.
Kemalangan itu turut menyebabkan 14 penumpang lain cedera, namun kesemua mereka dibenarkan keluar sejak pagi semalam.
Mereka antara 55 pekerja ladang dengan 10 daripadanya menaiki van. Kesemua mangsa cedera sudah dihantar ke ladang masing-masing untuk memulakan tugas.
Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu negatif dadah.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata ketika ini siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca nahas berlaku. – KOSMO! ONLINE