PELAWAK antarabangsa Dave Chappelle secara terang-terangan mengkritik penyanyi hip hop berketurunan Palestin DJ Khaled yang memilih kekal membisu walaupun negara tersebut kini kian ‘berdarah’ disebabkan kekejaman rejim Zionis.
Ketika Dave atau nama sebenarnya, David Khari Webber Chappelle, 52, mengadakan persembahan komediri di Abu Dhabi, Dubai bersempana dengan acara Comedy Season, dia mencemuh Khaled dengan mengatakan dia barangkali satu-satunya orang Palestin yang diberikan kesempatan untuk merasai nikmat bertubuh gemuk ketika ini.
“DJ Khaled, mari sini saya beritahu anda sesuatu. Sebagai seseorang yang berketurunan Palestin, bagaimana anda boleh membisu sekarang?
“Dan, mengapa anda sangat gemuk sedangkan orang di sana sekarang sedang kelaparan.
“Mungkin, dia (DJ Khaled) satu-satunya orang Palestin yang (bertubuh) gemuk di muka Bumi sekarang,” kata Dave seperti dilapor portal antarabangsa, Alarabiya English.
Kini, rata-rata figura popular dunia tidak berpuas hati apabila Khaled atau nama lengkapnya, Khaled Mohammed Khaled, 50, hanya ‘menikus’ apabila Palestin yang merupakan tanah kelahiran nenek moyangnya dibedil hari demi hari dek kerakusan Israel.
Ironi, semakin ramai bintang popular antarabangsa seperti Mark Rufollo, Kehlani dan Macklemore yang secara terang-terangan mengutuk kezaliman rejim Zionis di negara Palestin meskipun berdepan risiko kariek mereka diboikot.
Dave yang juga merupakan seorang pelakon sangat lantang menyokong Palestin dengan menyifatkan apa dilakukan Israel di negara terbabit sebagai satu bentuk genosid. – KOSMO! ONLINE