PETALING JAYA – Tiga lebuh raya dan 15 jalan utama di sekitar Lembah Klang akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bersempena penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN ke-58 (AMM ke-58) bermula 8 hingga 11 Julai ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Yusri Hassan Basri berkata, aktiviti raptai (dry-run) pergerakan motoked akan diadakan pada 4 hingga 6 Julai.
“Ia melibatkan laluan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke hotel penginapan di Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
“Raptai ini melibatkan kekuatan seramai 392 petugas trafik terdiri daripada pegawai kanan dan anggota,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, lencongan pada 7 Julai bermula pukul 7 pagi melibatkan Lebuh KLIA, Lebuh Raya Elite, Lebuh Raya MEX, Lebuh Raya Kuala Lumpur – Seremban, Lingkaran Putrajaya, Jalan Istana, Jalan Damansara, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang dan Imbi.
Pada 8 Julai, lencongan bermula pukul 10 pagi membabitkan persimpangan Jalan Ampang/ Jalan P. Ramlee, Jalan Sultan Ismail/ Jalan P.Ramlee, Jalan Perak/ Jalan P. Ramlee, Jalan Perak/ Jalang Pinang, Jalan Stonor/ Jalan Kia Peng serta Jalan Stonor/ Persiaran KLCC.
Seterusnya, penutupan laluan sama akan dilaksanakan pada 9 Julai bagi dua waktu berbeza pada pukul 7 pagi (hotel ke KLCC) dan 4 petang (KLCC ke hotel).
Bagi 10 Julai, lencongan membabitkan laluan sama bermula pukul 7 pagi (hotel ke KLCC) dan 5 petang (KLCC ke hotel) serta 7 malam (hotel ke KLCC) dan 10 malam (KLCC ke hotel).
Pada 11 Julai, lencongan di enam laluan dan persimpangan itu dijalankan pada pukul 7 pagi bagi perjalanan dari hotel ke KLCC.
Justeru, Yusri berkata, pengguna jalan disarankan merancang perjalanan lebih awal dan digalakkan menggunakan pengangkutan awam sebagai tanda sokongan kepada acara tersebut.
Tambahnya, kenderaan perdagangan disaran tidak memasuki pusat bandar sepanjang tempoh lencongan terutama waktu puncak bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. – KOSMO! ONLINE