KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang peniaga, Wan Hasbullah Wan Abdul Halim, 42, untuk mengadakan majlis kesyukuran sempena perkahwinan kali kedua tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 79, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Kampung Guntung, Setiu semalam.
Adik bongsu mangsa, Wan Zainul berkata, Allahyarham yang juga anak kelima daripada sembilan beradik baru mengahwini Wan Nazirah Wan Fauzi, 37, pada minggu lalu.
“Arwah abang (Wan Hasbullah) bercadang untuk mengadakan kenduri kesyukuran perkahwinan pada bulan September depan.
“Begitupun arwah masih belum menetapkan tarikhnya (kenduri kesyukuran),” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, di sini malam tadi.
Kosmo! semalam melaporkan seorang peniaga yang baru empat hari melangsungkan perkahwinan maut selepas motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Z1000 ditunggangi terlibat dalam kemalangan di KM 79, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Guntung, Setiu.
Wan Zainul berkata, sewaktu kejadian, arwah abangnya yang aktif dalam kumpulan permotoran berkuasa tinggi, Alternatif Riding Club (ARC) dalam perjalanan ke Besut untuk menemui anggota ARC.
“Arwah abang (Wan Hasbullah) merupakan pengerusi ARC Terengganu. Difahamkan dia mahu berjumpa anggota kelab permotoran tersebut yang berasal dari Kedah.
“Mereka menginap di Besut untuk menyantuni keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurly Shahirah Azman di Kampung Gong Pasir, Besut,” katanya. – KOSMO! ONLINE