SEPANG- Tiga suspek kes bunuh penuntut sebuah universiti swasta di Cyberjaya, 24 Jun lalu, disambung reman tujuh hari lagi.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Khairatul Animah Jelani bermula esok hingga Khamis depan.
Terdahulu, tiga suspek terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita tiba di Kompleks Mahkamah Sepang, di sini pukul 8.40 pagi dalam keadaan tangan bergari serta dikawal oleh anggota polis.
Ketiga-tiga suspek kemudiannya dibawa keluar dari kawasan mahkamah pada 9.50 pagi.
Sebelum ini, ketiga-tiga suspek direman tujuh hari bermula 27 Jun lalu dan berakhir hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, empat individu termasuk suspek utama iaitu teman lelaki kepada rakan serumah mangsa berjaya ditahan polis dalam tempoh 48 jam.
Mangsa yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi, berasal dari Sarawak ditemukan maut di unit kondominiumnya di Cyberjaya oleh seorang rakan, pada 10 pagi 24 Jun lalu.
Mangsa tinggal seorang diri selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE