BANGKOK – Thailand menyaksikan orang ketiga menduduki pejabat perdana menteri dalam tempoh seminggu hari ini selepas kabinet baharu mengangkat sumpah di hadapan raja susulan keputusan mahkamah yang menyaksikan negara terjerumus dalam pergolakan politik.
Pejabat perdana menteri bergolak Selasa lepas apabila Mahkamah Perlembagaan menggantung tugas Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra sementara menunggu siasatan tatalaku yang mungkin mengambil masa berbulan-bulan.
Kuasa beralih kepada Menteri Pengangkutan dan Timbalan Perdana Menteri Suriya Jungrungreangkit yang menduduki kerusi Perdana Menteri cuma sehari sementara menanti rombakan kabinet.
Bekas menteri pertahanan, Phumtham Wechayachai mengangkat sumpah menteri dalam negeri pagi tadi seterusnya mengambil alih jawatan timbalan menteri dan berada dalam kedudukan lebih tinggi berbanding Suriya sekali gus menjadi pemangku Perdana Menteri.
Kerajaan Thai menyatakan dalam satu kenyataan di laman sosial bahawa kabinet baharu meluluskan peranan Phumtham sebagai pemangku Perdana Menteri pada mesyuarat pertamanya.
Sebelum Paetongtarn digantung tugas, beliau memberikan jawatan Menteri Kebudayaan untuk dirinya dalam kabinet baharu tersebut, bermaksud beliau berada di kelompok pemimpin berkuasa.
Peralihan kepimpinan itu berlaku ketika Thailand bergelut untuk membangunkan semula ekonominya dan memukatamadkan perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat bagi mengelakkan ancaman tarif Presiden Donald Trump sebanyak 35 peratus. – AFP