KOTA BHARU – Isu kelewatan kontrak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menjejaskan tempat beregu badminton wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah dalam program Road to Gold (RTG).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, RTG memberikan sokongan kepada atlet dengan ranking 10 terbaik dunia sebagai prospek emas temasya Sukan Olimpik tanpa mengira sama ada mereka berada di bawah persatuan sukan kebangsaan atau bergerak secara profesional.
“RTG memberi sokongan kepada semua atlet yang mempunyai ranking 10 terbaik dunia tanpa mengira sama ada mereka berada di bawah persatuan kebangsaan seperti BAM atau bergerak sebagai atlet profesional.
“Pemain badminton dengan ranking 10 terbaik dunia tetap mendapat sokongan RTG. Jadi, kedudukan Pearly dan Thinaah dalam program ini langsung tidak terjejas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian The ASEAN Youth Robot Challenge 2025 di Tunjong, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hannah menggesa agar pihak BAM menyegerakan penyelesaian isu kelewatan kontrak Pearly-Thinaah supaya ia boleh diletakkan titik noktah dalam kadar segera.
Katanya, isu tersebut sudah lama berpanjangan dan beliau sendiri telah memaklumkan hasrat agar ia dapat diselesaikan secepat mungkin kepada pihak BAM sendiri serta presidennya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Paling penting saya tidak mahu isu ini (kelewatan kontrak) menjejaskan prestasi Pearly dan Thinaah. Tengku Zafrul sendiri sudah jumpa mereka dan saya juga telah minta BAM segerakan penyelesaian isu tersebut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
habis