fbpx

Selesai di Itali, Anwar bergerak ke Paris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar bersama delegasi Malaysia meneruskan lawatan kerja ke Paris, Perancis sebagai sebahagian daripada misi diplomatik ke Eropah. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau bersama delegasi Malaysia telah selesai menjalani urusan rasmi di Rom, Itali dan kini meneruskan lawatan kerja ke Paris, Perancis sebagai sebahagian daripada misi diplomatik ke Eropah.

Menurut Anwar, lawatan ke Itali berjaya mencapai matlamat utama untuk memperkukuh hubungan dua hala dan memperluas kerjasama strategik antara Malaysia dan Itali dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

“Alhamdulillah, kunjungan ke Itali telah mencapai matlamat dalam memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas kerjasama strategik antara Malaysia dan Itali dalam pelbagai bidang yang menjadi kepentingan bersama,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni atas jemputan rasmi serta layanan mesra dan semangat persahabatan yang diberikan kepada delegasi Malaysia sepanjang lawatan berlangsung.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan kementerian, Kedutaan Besar Malaysia di Rom, petugas keselamatan dan rakan-rakan media yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan aturcara lawatan rasmi berkenaan.

“Addio e grazie di cuore, Italia,” katanya.

Terdahulu, pertemu antara Anwar dan Meloni membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala menerusi perbincangan menyeluruh yang menjurus kepada pengukuhan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin menyentuh isu pelaburan strategik, pertahanan, tenaga lestari serta pembangunan industri berteknologi tinggi seperti semikonduktor, kenderaan elektrik (EV) dan kecerdasan buatan (AI).

“Saya menyambut baik pelaburan syarikat-syarikat terkemuka Itali seperti Leonardo, Fincantieri dan ENI di Malaysia, dan mengalu-alukan penglibatan lebih meluas syarikat negara ini dalam Zon Ekonomi Khas serta pelaksanaan program latihan industri yang berpaksikan kepakaran dan pemindahan teknologi.

“Kami turut bertukar pandangan berhubung isu-isu serantau dan antarabangsa yang memerlukan penyelesaian kolektif berlandaskan prinsip keamanan sejagat, keadilan dan saling menghormati,” katanya.

Kata Anwar, sebagai Pengerusi ASEAN, beliau menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan sebagai jambatan penghubung antara ASEAN dan rakan-rakan antarabangsa.

“Ia termasuk Itali demi menjamin kestabilan, keamanan dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan di rantau ini.

“Malaysia amat menghargai keterbukaan, kesungguhan dan komitmen Itali sebagai rakan kongsi penting dan yakin bahawa hubungan erat ini akan terus berkembang demi kemajuan, kesejahteraan dan masa depan yang lebih cerah bersama,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI