KUALA LUMPUR – MR. TOY, jenama runcit khusus untuk permainan di bawah Kumpulan MR D.I.Y. [M] Berhad, telah memperkenalkan kedai konsep serba baharu di MyTown Shopping Centre, Cheras di sini.
Ia merupakan satu transformasi yang meriah dan penuh imaginasi untuk menggembirakan kanak-kanak, ibu bapa serta peminat permainan yang berjiwa muda.
Menerusi satu kenyataan, MR. TOY berkata, kedai konsep baharu itu memperkenalkan susun atur dan gaya baharu yang menarik disusun mengikut zon bertema untuk mencetuskan imaginasi menjadikan pengalaman membeli permainan menyeronokkan serta intuitif.
“Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai produk menarik, dari figura koleksi dan anak patung gebu hingga ke robot, kereta kawalan jauh, kotak kejutan misteri serta kelengkapan parti merangkumi pelbagai kategori permainan.
“Rekaan baharu ini memudahkan pelanggan mencari sesuatu yang istimewa untuk setiap jenis permainan,”kata kenyataan itu.
Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh berkata, MR. TOY juga meraikan ‘kidult’ iaitu golongan dewasa yang meminati permainan, pengumpul koleksi permainan dan yang gemar mengimbau nostalgia.
“Versi baharu MR. TOY ini bukan sekadar sebuah kedai permainan, ia adalah ruang di mana imaginasi menjadi nyata.
“Sama ada anda seorang kanak-kanak, ibu bapa, atau sekadar berjiwa muda, kami telah mencipta ruang yang menyeronokkan, menginspirasikan, dan penuh kejutan.
“Ia mencetuskan kegembiraan, merangsang kreativiti, dan mencipta kenangan, semuanya pada harga berpatutan yang sentiasa kami tawarkan kepada pelanggan,”katanya.
Bagi meraikan pembukaan kedai konsep baharu itu, MR. TOY turut menganjurkan beberaa acara pembukaan istimewa selama empat hari bermula hari ini sehingga 6 Julai di cawangan
My Town.
Antara acara tersebut termasuklah Misi CEO Mini, iaitu ambil gambar, kongsikan di media sosial, dan berpeluang menjadi CEO kehormat MR. TOY.
Turut disediakan sudut yum yum yang menyediakam aiskrim atau gula kapas percuma dengan setiap pembelian.
Selain itu, pelanggan yang membuat pembelian minimum RM50 layak membawa pulang patung ikan lumba-lumba boleh ditiup dan beg jerut eksklusif.
Pelanggan yang berbelanja RM50 dan ke atas juga akan diberikan lolipop dan perlu tarik lolipop untuk mengetahui hadiah tersembunyi serta boleh menunjukkan kreativiti untuk menghasilkan patung dino anda sendiri dengan pembelian minimum RM100.-KOSMO! ONLINE