KANGAR – Taktik licik seorang tekong bot menyamar sebagai nelayan gagal mengaburi penguat kuasa apabila Maritim Malaysia (APMM) berjaya merampas kira-kira 170 kilogram (kg) ganja mampat dalam satu operasi di perairan Kuala Perlis, awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kejayaan itu merupakan hasil intipan dan risikan selama beberapa hari oleh Unit Risik Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP).
Katanya, anggota ZMKP yang menjalankan rondaan rutin berjaya mengesan sebuah sampan kayu tanpa nombor pendaftaran, kira-kira 560 meter atau 0.3 batu nautika dari barat Pulau Ketam.
“Ketika dihampiri, sampan terbabit dilihat menukar haluan ke arah kawasan paya bakau dengan menggunakan enjin ekor biawak sebelum ditinggalkan oleh tekongnya yang melompat ke laut dan melarikan diri dengan berenang bagi mengelakkan ditangkap.
“Anggota kita terpaksa terjun ke laut untuk berenang dan meranduk lumpur paras paha bagi memastikan bot tersebut berjaya ditahan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan itu menemukan lapan guni pelbagai warna mengandungi 157 ketulan daun kering mampat dipercayai ganja yang disembunyikan di bawah pukat.
Romli berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah hampir RM900,000 dan jumlah dadah berkenaan dipercayai mampu untuk kegunaan lebih 30,000 penagih.
“Rampasan ganja ini merupakan yang pertama dan terbesar direkodkan bagi tahun ini,” katanya.
APMM sindiket tersebut mungkin melibatkan kerjasama antara rakyat tempatan dan warga asing yang berada di negeri Kedah dan Perlis.
Ujarnya, bot kayu yang membawa dadah itu dipercayai datang dari wilayah Satun, Thailand dan kemungkinan bertujuan menghantar bekalan ke perairan Perlis berdasarkan jumlah bahan bakar yang sangat terhad ditemui di dalam bot.
Katanya, kedudukan geografi Perlis yang bersempadan dengan Thailand, selain kewujudan banyak jeti dan kawasan paya bakau, telah dimanipulasi sindiket untuk menjalankan aktiviti penyeludupan secara rahsia. – KOSMO! ONLINE