fbpx

MB Selangor serah kunci Rumah Idaman Melur oleh MGB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin (belakang, tengah) menyampaikan kunci kepada pemilik Idaman Melur @ Cybersouth bersama tetamu kehormat yang lain. Dari kiri, Pengarah Urusan Kumpulan MGB Berhad, Datuk Lim Hock Guan; Lim Hock San; Borhan; dan Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

SEPANG – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini menyerahkan kunci Rumah Idaman Melur @ Cybersouth, di sini kepada pemiliknya, menegaskan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi penyediaan kediaman berkualiti, selesa dan dilengkapi kemudahan asas diperlukan.

Rumah Idaman Melur merupakan projek kedua daripada enam projek Rumah Idaman Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dengan kerjasama MGB Berhad (MGB), penyedia solusi perkhidmatan pembinaan dan pembangunan hartanah yang juga anak syarikat LBS Bina Group Berhad (LBS).

Projek berkenaan dibangunkan di atas tanah seluas 4.88 hektar merangkumi dua blok apartmen setinggi 23 tingkat dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM406 juta, dengan akses mudah ke lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Maju (MEX).

Ia terdiri daripada 1,448 unit kediaman dilengkapi dengan penyaman udara, peti sejuk, almari pakaian, kabinet dapur, televisyen, kabinet televisyen serta pemanas air, selain pelbagai kemudahan asas dan dikelilingi kehijauan semula jadi yang menyumbang kepada suasana tenang serta harmoni.

Kesemua enam projek Rumah Idaman MBI merangkumi sejumlah 7,210 unit kediaman mampu milik dibina menggunakan Sistem Konkrit Tetuang (IBS) dan dibangunkan secara bersama oleh Konsortium PNSB Construction Sdn. Bhd., anak syarikat kepada Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan MGB.

Amirudin berkata, projek Rumah Idaman, yang menekankan kepada lokasi strategik dan harga mampu milik yang digabungkan dengan penyediaan peralatan asas, mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat Selangor secara menyeluruh.

Jelasnya, daripada 1,448 unit kediaman Rumah Idaman Melur, antara 10 hingga 13 peratus daripadanya akan dikembalikan kepada kerajaan negeri untuk pelaksanaan program Smart Sewa, iaitu penyediaan kediaman buat penduduk yang belum lagi mampu memiliki rumah.

“Ini akan menjadi agenda berterusan kerajaan negeri pada hari ini dan masa depan, memastikan rakyat mempunyai kediaman dan perumahan yang selesa.

“Agak istimewa projek Rumah Idaman Melur ini kerana saiznya lebih besar daripada biasa. Selalunya kita letakkan minimum 1,000 kaki bersegi dan di sini 1,022 kaki persegi, sedikit lebih besar daripada projek di tempat-tempat lain.

“Untuk tahun ini, projek Rumah Idaman yang paling hampir untuk disiapkan ialah di Bukit Jelutong, melibatkan 1,400 unit dan di Air Manis, Sabak Bernam sebanyak 1,260 unit.

“Harga sama RM250,000 dengan dua tempat letak kereta, setiap bilik ada penghawa dingin, ada air panas, kabinet pakaian dan juga televisyen atau peti ais. Rumah Idaman dan Rumah Harapan ini rangka kerjanya sama, cuma pemajunya mungkin berbeza,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kunci di sini.

Amirudin melawat unit kediaman di Idaman Melur @ Cybersouth bersama tetamu kehormat yang lain.

Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu serta Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San dalam ucapannya berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor menerusi inisiatif Rumah Idaman MBI, satu inisiatif prihatin untuk menyediakan sehingga 30,000 kediaman mampu milik kepada rakyat Selangor.

“Kerjasama pintar antara sektor awam dan swasta ini mencerminkan komitmen bersama dalam menyediakan kediaman berkualiti, lengkap dengan kemudahan, dan mesra pengguna.

“Projek Rumah Idaman yang dibangunkan oleh MGB menggunakan teknologi IBS canggih yang dibangunkan secara dalaman, dan turut digunakan di peringkat antarabangsa termasuk dalam projek kami di Jeddah, Arab Saudi bagi fasa pertama projek ROSHN Al-Arous.

“Kami berbesar hati untuk berkongsi bahawa permintaan tempahan adalah sangat memberangsangkan, sekali gus mengukuhkan lagi fokus MGB dalam segmen ini,” katanya.

Beliau menambah, Rumah Idaman Melur telah mencatatkan skor QLASSIC yang cemerlang iaitu sebanyak 79 peratus, menepati piawaian yang ditetapkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Hari ini amat bermakna bagi MGB apabila dapat menyerahkan kunci kepada para pemilik baharu kediaman Idaman Melur lebih awal daripada yang dijadualkan, meneruskan kejayaan susulan penyerahan awal projek Idaman BSP pada tahun 2024.

“Pencapaian ini menjadi bukti usaha berterusan kami dalam mengejar kecemerlangan, sekali gus menyokong visi Selangor untuk membina 200,000 rumah mampu milik menjelang tahun 2028,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI