PASIR PUTEH – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di Kilometer 2, Jalan Cherang Ruku-Telaga Papan dekat Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, mangsa yang berusia 25 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakarian berkata, siasatan awal mendapati, mangsa memandu kereta jenis Proton Wira sedang dalam perjalanan dari arah Telaga Papan menghala ke Cherang Ruku di sini.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang tiang elektrik.
“Mangsa yang tersepit di dalam kereta itu meninggal dunia di lokasi kejadian. Polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE