PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) tampil memberikan penjelasan susulan penularan gambar dan aduan orang awam berkenaan kesesakan di Klinik Pakar Ortopedik, Hospital Sungai Buloh pada 30 Jun lalu.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, KKM memaklumkan seramai 158 pesakit telah hadir ke klinik berkenaan pada hari tersebut dan dikendalikan oleh tiga pakar serta tiga pegawai perubatan yang bertugas mengikut jadual serta kapasiti sedia ada.
Menurut KKM, angka yang tular melebihi 300 orang dipercayai turut merangkumi ahli keluarga dan penjaga pesakit.
“Ini adalah amalan biasa di fasiliti kesihatan awam, khususnya bagi warga emas dan kanak-kanak. Kami memahami kesulitan yang dihadapi pesakit dan keluarga, terutama berkaitan masa menunggu.
“KKM sedar beban kes di hospital rujukan seperti Hospital Sungai Buloh adalah tinggi dan usaha penambahbaikan sedang dijalankan secara berterusan untuk memperbaiki aliran pesakit,” jelas KKM.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai keluhan beberapa orang awam di klinik tersebut yang terpaksa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan. – KOSMO! ONLINE