IPOH – Kes bunuh seorang lelaki berusia 57 tahun di Taman Tasek Damai di sini, pada 24 Jun lalu dipercayai merupakan kes yang besar melibatkan jenayah terancang serta luar sempadan negara.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pada peringkat awal pihak polis menjangka ia hanya satu bersifat tempatan namun kemudian mendapati kes tersebut berskala besar.
Jelasnya, siasatan kes itu juga telah diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah PDRM Bukit Aman dan polis Perak akan membantu siasatan.
“Kes ini besar walaupun berlaku di Perak. Ia melibatkan jenayah terancang. Masih dalam siasatan, kita tidak boleh mengandaikan apa-apa lagi.
“Ia merupakan satu teka-teki (puzzle) yang besar berbanding apa yang dijangkakan sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas program derma darah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak sempena peringatan Hari Polis Ke-218 tahun 2025 di sini hari ini.
Lelaki itu yang ditemukan maut dengan kesan kelar serta tikaman di dada serta perut di sebuah rumah turut didapati mempunyai kesan luka tembakan di dada yang dipercayai menjadi punca kematian.
Berikutan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang dipercayai anak mangsa dan suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Kenyataannya pun agak meragukan. Siasatan masih dijalankan dan kita serahkan kepada Bukit Aman,” katanya.
Noor Hisam disebabkan kes itu melibatkan luar sempadan negara, beliau menjangkakan kerjasama daripada pihak berkuasa antarabangsa.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad sebelum ini berkata, mangsa bekerja sambilan sebagai penjual produk kesihatan itu tinggal di rumah berkenaan bersama suspek berusia 30 tahun. – KOSMO! ONLINE