SEBERANG PERAI – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun terpaksa menahan kesakitan apabila kepalanya tersepit di celah besi penghadang di sebuah taska di Taman Jawi Indah, Nibong Tebal di sini, pagi tadi.
Kejadian pukul 8.27 pagi menyebabkan pihak taska terpaksa mendapatkan bantuan kecemasan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan dan operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal.
“Insiden melibatkan seorang kanak-kanak perempuan yang tersepit pada bahagian kepala di celahan besi penghadang. Pasukan bomba telah menjalankan operasi penyelamatan dan berjaya mengeluarkan mangsa dalam keadaan selamat tanpa kecederaan serius,” katanya di sini, sebentar tadi. -KOSMO! ONLINE