KUALA SELANGOR – Kegiatan haram warga asing mengendalikan tiga premis sejak lima bulan lalu mengundang padah apabila digempur pihak berkuasa di Sungai Buloh dan Sungai Sembilang, Jeram di sini, semalam.
Kesemua premis itu melibatkan kedai barangan lusuh, pusat cuci kenderaan dan kedai makanan diserbu menerusi Operasi Bersepadu Premis Warga Asing selama lima jam bermula pukul 8.30 pagi
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas empat premis termasuk sebuah kilang e-waste yang diarah tutup secara merta.
Katanya, sebanyak enam kompaun dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007 dan empat notis penutupan premis.
“Selain itu, sitaan peralatan perniagaan dilakukan bagi kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen,” katanya hari ini.
Menurutnya, Jabatan Kawalan Bangunan MPKS telah mengeluarkan notis mengikut Seksyen 70(1) dan 79(1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 bagi kesalahan struktur binaan tanpa kebenaran dan dua kompaun dikeluarkan atas kesalahan membuang sisa di kawasan premis oleh Jabatan Kesihatan MPKS.
“Suruhanjaya Syarikat Malaysia turut mengambil tindakan dengan mengeluarkan empat kompaun ke atas premis yang gagal mematuhi Akta Syarikat 2016 dan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
“Sseramai 14 warga asing pula ditahan imigresen untuk semakan lanjut terhadap dokumen perjalanan dan status keberadaan mereka di negara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE