BENTONG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya menggagalkan dua cubaan membawa masuk barangan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) serta skrap logam dari luar negara bernilai RM4, 402,490.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Bentong dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd. Asri Seman berkata, serbuan melibatkan tujuh kontena itu dilakukan secara serentak di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor pada 21 Mei lalu.
Katanya, kejayaan rampasan itu adalah hasil risikan dan pemantauan JKDM yang tidak pernah berkompromi dalam isu penyeludupan khususnya barang larangan yang boleh mencemarkan alam sekitar.
“Tiga buah kontena bersaiz 12.2 meter dikesan membawa dagangan e-waste seberat 46,726 kilogram (kg) bernilai RM700,890. Barangan itu diimport tanpa permit dan diikrarkan dalam Borang Kastam 1 sebagai ‘copper concentrate’.
“Modus operandi sindiket adalah mengikrarkan dagangan sebagai barangan lain bagi mengelak keperluan permit import,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM Bentong, di sini, hari ini.
Dalam serbuan kedua, empat lagi kontena bersaiz sama ditahan selepas dikesan membawa skrap logam seberat 105,760kg bernilai RM3,701,600.
Barangan itu dipercayai dibawa masuk dari Jepun dan Amerika Selatan, namun siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang bertanggungjawab terhadap penghantaran tersebut.
“Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dilakukan. Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti pemilik barangan yang diseludup,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE