SEPANG – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun parah disyaki dilanggar lari sebuah motosikal ketika melintas jalan di Hadapan Uptown Puchong Night Bazar, di sini, Khamis lalu.
Dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, mangsa sebelum itu dipimpin oleh ibunya melintas jalan sebelum dirempuh motosikal jenis Yamaha Y15.
Bagaimanapun, penunggang motosikal terbabit bertindak melarikan diri sejurus kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya kini giat mengesan pemilik motosikal berkenaan.
“Mangsa kini masih tidak sedarkan diri dan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Kami dimaklumkan, mangsa baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran pada malam kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, mangsa bersama ahli keluarganya dilihat berjalan menuju ke tempat letak kereta sebelum insiden itu berlaku.
Justeru, saksi awam diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sepang, Sarjan Ungku Fairuz di talian 011-21004106. – KOSMO! ONLINE