fbpx

Jovian Mandagie muflis, gagal bayar RM5.28 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jovian

KUALA LUMPUR – Pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Insolvsensi) di sini selepas gagal membayar pinjaman persahabatan (friendly loan) RM5.28 juta kepada syarikat pembinaan kejuruteraan, Cekap Air Sdn. Bhd.

Dalam prosiding hari ini, Penolong Kanan Pendaftar (Insolvensi) Muhammad Faisal Zulkifli memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen pemiutang yang dikemukakan syarikat Cekap Air Sdn. Bhd., yang difailkan pada 20 November tahun lalu.

Berdasarkan petisyen itu, Jovian yang juga bekas menantu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selaku penghutang penghakiman, dalam masa enam bulan sebelum tarikh petisyen berkenaan, telah melakukan perbuatan kebankrapan, iaitu gagal mematuhi Notis Kebankrapan bertarikh 21 Mei tahun lalu.

Ia menyatakan Jovian berhutang kepada Cekap Air RM 5,284,340.66 termasuk faedah setakat 21 Mei tahun lalu, iaitu jumlah yang perlu dibayar berikutan penghakiman terus oleh Mahkamah Tinggi pada 2 April tahun lalu melalui kes saman utama.

Sementara itu, peguam Siti Nur Athirazatti Rohizad yang mewakili syarikat berkenaan, berkata, pihaknya memfailkan Notis Kebankrapan selepas Jovian gagal mematuhi penghakiman terus yang diputuskan Mahkamah Tinggi.

Penghakiman terus merujuk kepada suatu permohonan yang difailkan oleh pihak yang memulakan tindakan (plaintif) untuk mendapatkan penghakiman daripada mahkamah tanpa perlu melalui proses perbicaraan.

Siti Nur Athirazatti berkata, selepas mendapat kebenaran untuk mengeluarkan Notis Kebankrapan, pihaknya kemudian memfailkan Petisyen Pemiutang, yang dibenarkan mahkamah hari ini.

“Jovian ada memfailkan permohonan untuk menggantung dan membatalkan notis serta petisyen berkenaan tetapi semuanya ditolak oleh mahkamah,” katanya.

Sebelum ini, pada 2 April tahun lalu, Jovian diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar RM5 juta kepada Cekap Air selepas membenarkan penghakiman terus yang dimohon syarikat itu.

Kemudian pada 16 Mei 2023, syarikat berkenaan memfailkan saman terhadap Jovian kerana didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar pinjaman persahabatan.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, syarikat terbabit mendakwa Jovian adalah kenalan kepada pengarah syarikat Cekap Air, Yong Zhen Wei.

Cekap Air mendakwa, ia meminjamkan RM5 juta kepada Jovian atas permintaan lisan pereka fesyen itu pada 25 Februari 2022, dan memindahkan wang berkenaan ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili Jovian.

Menurut Cekap Air, firma guaman terbabit mengesahkan penerimaan wang itu atas arahan defendan.

Rayuan Jovian terhadap penghakiman terus melalui saman utama akan didengar 15 September ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI