PETALING JAYA – Harimau Malaya bakal berdepan ujian sebenar apabila diundi dalam Kumpulan B Kejohanan Piala Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025 bersama negara di ranking ke 18 dunia, Iran.
Selain Iran, dua lagi pasukan yang berada dalam Kumpulan B adalah pasukan tuan rumah, Tajikistan yang menghuni ranking ke 104 dunia dan Afghanistan (160).
“Kita bersiap sedia untuk menentang Tajikistan, Iran dan Afghanistan. Ini menandakan satu lagi detik penting buat Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
“Dengan persiapan yang rapi, keyakinan yang tidak pernah luntur dan semangat untuk berjuang demi lencana di dada, skuad kebangsaan kita bersedia untuk menyahut cabaran yang menanti,” menurut ciapan laman media rasmi skuad kebangsaan, Malaysia NT.
Malaysia akan membuka tirai saingan ini menentang Tajikistan pada 29 Ogos, diikuti Iran (1 September) dan Afghanistan tiga hari kemudian dimana ketiga-tiga aksi berkenaan akan dilangsungkan di Dushanbe.
Kumpulan A yang akan berlangsung di Tashkent, Uzbekistan akan membabitkan tuan rumah, Kyrgyzstan, Turkmenistan dan Oman.
Juara kumpulan akan layak ke final di Tashkent pada 8 September 2025 manakala naib juara kumpulan akan bertemu untuk perlawanan penentuan tempat ketiga di Dushanbe, juga pada 8 September 2025. – KOSMO! ONLINE