REMBAU – Seorang ejen tarik kereta ditahan, tengah malam tadi, susulan video tular memaparkan tiga buah kenderaan menghalang laluan di Lebuh Raya Utara-Selatan di Senawang (arah Selatan) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Pedas-Linggi, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain berkata, suspek berusia 50-an itu ditahan di sekitar Seremban kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi dan beberapa suspek lagi akan ditahan.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek adalah ejen tarik kereta. Mereka dipercayai menahan kenderaan kerana mahu menarik sebuah kereta. Mereka tahan (menghalang laluan) sekejap saja.
“Malah, kita juga telah membuka tiga kertas siasatan di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan (memandu dengan cuai atau melulu sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya); Seksyen 341 KK (menghalang laluan orang awam) serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (meletak atau mengendalikan kenderaan dengan cara yang menyusahkan pengguna jalan raya),” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat (Jenayah), Inspektor Noor Fathiah Ak’Dilah Ishak di talian 010-5825384 atau Pegawai Penyiasat (trafik), Sarjan Siti Nur Balqes Abdul Rahim di talian 019-7992519 atau Bilik Gerakan IPD Rembau ditalian 06-6851999.
Semalam, tular video berdurasi 43 saat di media sosial memaparkan tiga buah kenderaan yang didakwa menyekat aliran trafik di lebuh raya berkenaan susulan berlakunya insiden kejar mengejar. – KOSMO! ONLINE