fbpx

‘Biar kudung, dia tetap isteri tersayang saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Faizal menolak kerusi roda yang dinaiki isterinya, Nazirah ketika ditemui di Kampung Permatang Pelanduk, Pasir Salak.

PASIR SALAK – Cinta tidak kenal sesiapa. Ungkapan itu sesuai untuk menggambarkan me­ngenai pengorbanan seorang pemandu lori yang sanggup menikahi isterinya walaupun tahu wanita itu kudung tangan dan kaki.

Lebih mengharukan, Mohd. Faizal Azuan Mohd. Salleh, 41, tidak ambil pusing cakap-cakap orang dan apa yang dia tahu ialah dia mahu menjaga isterinya de­ngan berkahwin dengan wanita yang serba kekurangan itu walaupun berkenalan secara singkat di Facebook.

Mohd. Faizal dan isterinya, Nazirah Shamsudin, 33, bernikah pada 26 April lalu.

“Biarlah apa orang nak kata, saya tak kisah menjaga isteri yang kudung kaki dan tangan. Isteri kudung sejak lahir dan sebab itu dia memerlukan bantuan untuk menguruskan diri.

“Sejak mengenalinya di Facebook, saya simpati dengan nasib yang menimpanya sebelum mengambil keputusan untuk menikahinya,” katanya ketika ditemui di Kampung Permatang Pelanduk di sini.

Menurut Mohd. Faizal, selain kudung, isterinya juga mempu­nyai ketumbuhan di dalam mulut dan kini perlu menjalani rawatan di hospital.

Perkenalan singkat antara Mohd. Faizal dan Nazirah berakhir di jenjang pelamin pada 26 April lalu.

Tambahnya, Nazirah hanya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 sebulan sejak 2016 dan ia digunakan secara berhemah untuk meringankan beban mereka.

“Saya tidak boleh biarkan isteri saya seorang diri di rumah kerana saya perlu menjaganya sepenuh masa dan menguruskan keperluannya. Kalau saya keluar bekerja bawa lori pun, saya akan segera pulang ke rumah,” katanya.

Ujar Mohd. Faizal, jika mereka keluar untuk ke mana-mana, dia akan menolak kerusi roda yang diduduki oleh isterinya.

“Tak apa kalau saya kena buat semua kerja sekali pun, baik kerja rumah atau menyiapkan isteri, ia bukanlah satu beban,” katanya.

Mohd. Faizal Azuan berkata, sebagai seorang Islam, dia percaya soal jodoh, rezeki dan kematian semuanya telah ‘ditulis’ untuk setiap manusia dan dia sudah pun berdamai dengan ketentuan Allah.

Sementara itu, Nazirah berkata, biarpun mempunyai kekura­ngan, dia masih berupaya memasak, namun mustahil memakai pakaian, antaranya tudung sendiri.

Jelasnya, ia ekoran ­keadaan tangannya itu adalah satu cabaran yang sukar diatasi.

Katanya, ada pihak berhasrat menjual sebelah tangan palsu berharga RM40,000 tetapi ia ­terlalu tinggi dan mustahil mereka mampu membe­linya.

“Bagaimanapun, saya ­ber­syukur kerana diberi kesempatan untuk berumah tangga bahkan suami menerima diri ini seadanya dan sanggup menjaga saya. Alhamdulillah,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional 0823341000087789 milik Nazirah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI