BANGI – Arwah ibu yang juga guru menjadi inspirasi kepada seorang pesakit kanser payudara tahap empat untuk mengutamakan pelajaran, sekali gus berjaya menamatkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darul Aman, Kedah bagi bergelar pendidik.
Aisyah Humaira Mohd. Aqbar, 23, antara 679 graduan Sidang 7 Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ambilan Jun 2021 pengkhususan Bahasa Melayu Pendidikan Rendah menerima skrol daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Berkongsi jerih perih semasa belajar, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, sebelum ini dia melanjutkan pengajian di IPG Kampus Sarawak sebelum bertukar ke IPG Kampus Darul Aman susulan masalah kesihatan.
“Ujian saya hadapi apabila ibu meninggal dunia selepas strok dan dijangkiti Covid-19 ketika saya berada di tahun satu semester dua di Sarawak.
“Kemudian pada tahun lalu, saya pula disahkan kanser payudara tahap empat, sekali gus tamparan kepada saya. Benda pertama saya terfikir selepas disahkan kanser ialah saya nak habiskan pengajian tanpa perlu menangguh semester,” katanya selepas Istiadat Konvokesyen IPG Kementerian Pendidikan Ke-15 Tahun 2025 di sini hari ini.
Menurutnya, selepas disahkan kanser, dia menjalani sembilan rawatan kemoterapi dan kini mengambil ubat-ubatan untuk rawatan penyakit tersebut.
“Kadangkala saya tidak dapat hadir ke kelas kerana kemoterapi dan memerlukan masa seminggu untuk penyembuhan.
“Arwah ibu merupakan guru Bahasa Melayu dan dia juga menjadi sumber kekuatan dan inspirasi kepada saya untuk terus kuat sekali gus menghabiskan pengajian,” katanya.
Aisyah Humaira yang berasal dari Alor Setar bersyukur kerana bapa dan ibu tiri serta keluarga turut memberikan sokongan kepadanya selain pensyarah dan rakan pengajian serta doktor merawatnya.
Terdahulu, seramai 5,390 pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ambilan Jun 2021 dari 28 IPG seluruh negara telah bergraduasi sepanjang empat hari Istiadat Konvokesyen IPG KPM Ke-15 Tahun 2025 di sini. – KOSMO! ONLINE