fbpx

Ajai mohon maaf kepada 4U2C

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AJAI tampil memohon maaf secara terbuka kepada 4U2C di atas kenyatannya sebelum ini yang menyinggung perasaan kumpulan itu.

PETALING JAYA – Permintaan dipenuhi, komposer dan penyanyi Ajai memohon maaf secara terbuka atas kenyataannya berhubung isu hak cipta dan royalti lagu melibatkan kumpulan 4U2C dengan pencipta lagu, Man Senoi serta Mama Rap baru-baru ini.

Menurut Ajai atau nama penuhnya Mohamad Faizal Maas, 50, kenyataannya berhubung isu tersebut sebelum ini tidak mempunyai niat untuk menyakiti hati mana-mana pihak yang terlibat.

“Saya ingin menjelaskan kenyataan saya sebelum ini berkenaan konsert 4U2C.

“Sekiranya kenyataan saya telah disalah tafsir atau menyinggung mana-mana pihak, saya mohon maaf.

“Kenyataan itu bukan bertujuan untuk menghalang mana-mana pihak daripada berkarya,” katanya dalam InstaStory semalam.

Tambah Ajai, dia akan terus memberi sokongan kepada semua pihak dalam menghasilkan karya-karya selain berharap segala kemelut berakhir dengan baik.

“Saya menyokong usaha mana-mana artis untuk terus berkarya, dan berharap segala perkara dapat diselesaikan secara baik dan berhemah. Terima kasih,” ujarnya.

Permohonan maaf tersebut dibuat selepas 4U2C dalam sidang media semalam yang menuntut Ajai membuat permohonan maaf dalam tempoh 24 jam apabila didakwa mengeluarkan kenyataan tidak berasas mengenai isu berkenaan.

Terdahulu komposer Man Senoi bercadang mengambil tindakan sekiranya kumpulan rap tersebut menyanyikan lagu-lagunya di konsert We 4U2C Live In Concert September depan.

Ajai sebelum ini memberi pandangan bahawa 4U2C tidak boleh mengadakan konsert sekiranya isu hak cipta tidak diselesaikan dengan pencipta lagu mereka.

Kenyataan tersebut disifatkan 4U2C sebagai tidak berasas dan mengelirukan ramai pihak termasuk pembeli tiket konsert mereka.

4U2C dalam sidang media sama mengesahkan penganjuran konsert mereka diteruskan tanpa perlu mendapatkan persetujuan mana-mana pihak berhubung hak cipta lagu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI