fbpx

23 penumpang bas dikompaun tak pakai tali pinggang keledar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamidi (kanan) ketika melakukan pemeriksaan ke atas sebuah bas ekspres pada Operasi Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar di Plaza Tol Gombak, malam tadi.

GOMBAK – Seramai 23 penumpang dikompaun kerana tidak memakai tali pinggang keledar dalam Operasi Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar di Plaza Tol Gombak, malam tadi.

Pemeriksaan selama tiga jam bermula pukul 8 malam itu merupakan sebahagian operasi serentak di seluruh negara bermula kelmarin bertujuan meningkatkan tahap keselamatan penumpang dalam sektor pengangkutan berjadual dan pelancongan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, sebanyak 44 buah bas diperiksa melibatkan 41 buah bas ekspres dan tiga bas persiaran.

“Kami mengesan tiga kes melibatkan penumpang bawah usia 18 tahun dan mereka diberikan nasihat oleh anggota penguat kuasa.

“Di bawah peruntukan sedia ada, kadar kompaun maksimum RM300 boleh dikenakan terhadap penumpang yang gagal memakai tali pinggang keledar.

“Bagi pengusaha bas yang melanggar peraturan, mereka boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan jika kesalahan berulang atau gagal mematuhi arahan,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Beliau turut mengingatkan semua penumpang bas ekspres dan persiaran bahawa pemakaian tali pinggang keledar merupakan tanggungjawab bersama, bukan sekadar tuntutan undang-undang, tetapi komitmen terhadap keselamatan serta nyawa.

Penumpang juga digalakkan untuk melaporkan sebarang kegagalan penyediaan tali pinggang keledar kepada JPJ melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau emel ke [email protected] beserta maklumat lengkap.

“JPJ akan meneruskan kempen kesedaran dan pendidikan awam secara berterusan, termasuk melalui media sosial, infografik dan kerjasama bersama pengusaha bas serta pengusaha terminal,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI