KANGAR – Kegigihan seorang remaja bekerja selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengumpul wang bagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi berbaloi apabila dia bakal mendaftar ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Sabtu ini.
Menurut Muhammad Ruzaifan Daniel Rusdi, 18, yang berasal dari Kelantan, dia bekerja di bahagian logistik sebuah syarikat kosmetik terkenal bagi mengumpul wang untuk memulakan pengajian selain mahu meringankan beban kewangan keluarga.
“Saya tahu jalan untuk mencapai cita-cita sebagai jurutera bukan mudah, jadi saya bekerja untuk bantu keluarga dan persiapkan diri ke universiti.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana usaha saya ternyata berbaloi apabila akhirnya dapat mengumpulkan wang bagi membiayai pengajian kemasukan baharu ke UniMAP pada Sabtu ini dalam program Diploma Kejuruteraan Elektrik di Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik,” katanya ketika dikunjungi delegasi UniMAP di rumahnya di Pengkalan Chepa, Kelantan semalam.
Delegasi universiti yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah mengunjungi rumah keluarga Muhammad Ruzaifan bagi menyampaikan sumbangan awal pengajian, inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti yang prihatin terhadap nasib pelajar daripada golongan kurang berkemampuan.
Selain itu, anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, dia juga terharu apabila ibunya sanggup berkorban barang kemas demi menyediakan keperluan asas pembelajarannya termasuk komputer riba, buku rujukan dan pakaian kolej.
“Ibu saya hanya berniaga kecil-kecilan dengan membuat nasi berlauk di rumah sebelum menghantarnya ke gerai untuk dijual,” ujarnya.
Tambahnya, sumbangan UniMAP meningkatkan motivasi serta menyuntik semangat kepadanya untuk berusaha sebaik mungkin sekali gus membuktikan bahawa kepercayaan yang diberikan tidak akan disia-siakan.
Sementara itu, Yang Dipertua MPP UniMAP, Muhamad Syamil Ramlan berkata, bantuan itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan mereka dalam memastikan bakal pelajar tidak terhalang untuk melanjutkan pengajian hanya kerana kekangan kewangan.
“Prof. Dr. Mohd Mustafa dan pengurusan Jabatan Hal Ehwal Pelajar juga bersetuju untuk membantu daripada segi pengangkutan agar urusan pendaftaran nanti berjalan lancar,” katanya. – KOSMO! ONLINE