PORT DICKSON – Seorang lelaki maut apabila motosikal ditungganginya melanggar seekor kerbau yang secara tiba-tiba masuk ke laluannya di Kilometer 41.5, Jalan Port Dickson – Lubuk China, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi itu, mangsa berusia 22 tahun bekerja sebagai pembantu kedai meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC datang dari arah Pekan Linggi menghala ke Permatang Pasir. Selepas perlanggaran, kerbau telah lari ke kawasan kebun sawit berhampiran dan mangsa cedera parah di bahagian kepala,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE