ATLANTA – Dua gol babak pertama daripada Serhou Guirassy memastikan Borussia Dortmund mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 menerusi kemenangan 2-1 ke atas Monterrey hari ini.
Tuah ternyata memihak gergasi Jerman tersebut yang menjadi ‘pasukan kedua’ di belakang Monterrey sepanjang tempoh 90 minit aksi pusingan 16 terbaik di Stadium Mercedes-Benz itu.
Apa tidaknya, jaguh Mexico itu lebih menguasai perlawanan dan melakukan 14 percubaan keseluruhan berbanding hanya enam dimiliki Dortmund.
Pengendali Dortmund, Niko Kovac memuji barisan pertahanan terutamanya penjaga gol, Gregor Kobel yang beraksi cemerlang memastikan kemenangan meskipun bolos satu gol kepada Monterrey hasil jaringan German Berterame.
“Apa pun yang terjadi dalam perlawanan ini sudah berakhir kerana keputusan ini sangat melegakan apabila kami muncul antara lapan pasukan terbaik dunia.
“Banyak lagi perlu diperbaiki untuk aksi penting di suku akhir nanti tetapi saya gembira dengan kesungguhan dan semangat tinggi ditunjukkan para pemain hari ini,” katanya.
Di suku akhir Ahad ini, Dortmund bakal berdepan Real Madrid yang turut mengesahkan kemaraan selepas menang 1-0 ke atas gergasi Itali, Juventus dalam satu lagi aksi pusingan 16 awal pagi tadi.
Menariknya, ia bakal menyaksikan pertembungan adik abang dalam keluarga Bellingham antara Jude (Real) dan Jobe (Dortmund). – AGENSI