CHARLOTTE – Jurulatih Inter Milan, Cristian Chivu memahami reaksi kapten, Lautaro Martinez selepas pasukannya tewas 0-2 kepada kelab Brazil, Fluminense dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia Kelab di Stadium Bank of America awal pagi semalam.
Selepas berakhir perlawanan itu, Martinez mengeluarkan kenyataan kurang senang terhadap rakan-rakan sepasukannya terutama Hakan Calhanoglu yang didakwanya tidak memberikan sepenuh tenaga pada kejohanan kali ini.
Kata Chivu, apa yang dikatakan oleh Martinez hanyalah reaksi kekecewaan sebagai seorang kapten kerana misi untuk membantu pasukan mara ke kelompok lapan terbaik Piala Dunia Kelab tidak kesampaian.
“Semua orang di sini memiliki mentaliti juara dan ada ketika kita perlu luahkan perasaan secara jujur. Kali ini, Martinez tidak lagi berlapik kerana dia telah mengharungi musim yang begitu mengecewakan.
“Saya harap, selepas ini kita dapat berada dalam satu kapal yang sama kerana kita perlu fokus untuk membuat persiapan dengan lebih rapi pada kempen musim depan,” kata Chivu.
Sementara itu, Martinez mengakui kecewa dengan Calhanoglu yang dilihat tidak sabar untuk melengkapkan perpindahannya ke kelab Liga Turkiye, Galatasaray dalam masa terdekat.
“Saya rasa siapa yang tidak mahu kekal bersama pasukan musim depan, boleh keluar. Kita mewakili kelab yang hebat dan ada objektif besar, sesiapa yang mahu teruskan perjuangan boleh kekal,” katanya. – AGENSI