KLANG – Sekumpulan pelajar tular bergaduh di lorong belakang sebuah restoran di Meru, di sini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya terkesan dengan satu rakaman video yang tular di aplikasi Facebook (FB), kira-kira pukul 2.45 petang tadi.
“Rakaman berdurasi 22 saat itu memaparkan kejadian berlaku di lorong belakang sebuah restoran dan dipercayai melibatkan sekumpulan pelajar dari sebuah sekolah menengah di Meru.
“Setakat ini, tiada sebarang laporan polis diterima daripada mangsa atau mana-mana pihak berhubung insiden berkenaan,” katanya hari ini.
Menurut beliau, polis memandang serius segala bentuk perlakuan pergaduhan terutama melibatkan pelajar sekolah.
“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara. Orang ramai juga dinasihatkan tidak menyebarkan spekulasi atau andaian tidak berasas yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat,” ujarnya.
Justeru, Vijaya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian menghubungi Balai Polis Meru di talian 03-33922222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE