KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dijadualkan menjalani pembedahan anterior cruciate ligament (ACL) di sebuah hospital ternama di Doha, Qatar bagi memastikan karier badmintonnya terus bernyawa.
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh menjelaskan, Institut Sukan Negara (ISN) mencadangkan supaya Tze Yong menjalani pembedahan di Hospital Ortopedik dan Perubatan Sukan Aspetar.
Cadangan itu dipersetujui Tze Yong dan BAM sedang berusaha mendapatkan tarikh sebenar pembedahan untuk pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 berkenaan.
“ISN sedang berhubung dengan Aspetar dan berusaha untuk mengesahkan tarikh pembedahan Tze Yong secepat mungkin,” katanya.
Hospital Aspetar dianggap antara hospital terbaik dunia dan sejak ditubuhkan pada 2007, mereka sudah mendapat pengiktirafan sebagai Pusat Kecemerlangan Perubatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Sebagai rekod, Aspetar pernah menjadi lokasi rawatan beberapa atlet berkelas dunia termasuk penyerang sensasi Manchester City, Erling Haaland dan legenda bola sepak Brazil, Neymar serta bintang Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Marc Marquez.
Terdahulu, Tze Yong kembali beraksi April lalu selepas berehat selama 14 bulan akibat dua pembedahan tulang belakang, namun sekali lagi ditimpa malang apabila mengalami kecederaan ACL ketika pusingan pertama Malaysia Masters pada Mei lepas.
Selepas kembali daripada kecederaan belakang sebelum ini, pemain No. 195 dunia itu sempat menyertai empat pertandingan termasuk Kejohanan Badminton Asia (BAC), Terbuka Taiwan, Terbuka Thailand dan Malaysia Masters. – KOSMO! ONLINE