fbpx

Trend demam denggi di Selangor menurun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Demam denggi di negeri ini menunjukkan trend penurunan pada minggu Epidemiologi ke-26 (ME 26/2025).

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, data terkini dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menunjukkan sejumlah 398 kes direkodkan pada minggu tersebut antara 22 hingga 28 Jun lalu dengan penurunan 27 kes berbanding ME sebelumnya.

Katanya, kumulatif kes demam denggi di Selangor setakat ini mencatatkan 13,275 kes berbanding 38,920 kes pada tahun 2024 dengan perbezaan 25,645 kes.

“Tiga daerah yang masih mencatatkan bilangan lokaliti wabak aktif tertinggi adalah Petaling dengan 57 kes, diikuti Hulu Langat (34) dan Klang (28). Namun ketiga-tiga daerah mencatat penurunan berbanding minggu sebelumnya.

“Hanya enam lokaliti wabak aktif dilaporkan di Gombak, Kuala Selangor (5), Kuala Langat (4) dan Hulu Selangor (1). Tiada lokaliti wabak aktif direkodkan di Sepang dan Sabak Bernam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, trend positif ini turut dizahirkan melalui pengurangan kes kematian iaitu empat kes tahun ini berbanding 12 kes sehingga tempoh yang sama pada tahun lalu.

Kata Jamaliah, penurunan ketara ini membuktikan bahawa pelaksanaan langkah-langkah intervensi dan pengawalan berterusan oleh pelbagai pihak khususnya JKNS, pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi-agensi berkaitan serta penglibatan komuniti setempat telah membuahkan hasil yang positif.

“Ia juga mencerminkan keberkesanan pelaksanaan aktiviti kawalan dan pencegahan denggi secara konsisten di semua peringkat.

“Ini termasuk tindakan penguatkuasaan, pendidikan kesihatan, kerja-kerja cari dan musnah tempat pembiakan aedes, serta penglibatan komuniti dalam aktiviti gotong-royong,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI