KAJANG – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di persekutuan dan negeri diperuntukan sebanyak RM40,907,300 bagi pengurusan bencana tahun 2025 termasuk penyediaan keperluan barang-barang bencana.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah peruntukan itu bagaimanapun tidak dapat menampung keperluan ‘adhoc’ apabila skala bencana yang berlaku lebih besar berbanding jangkaan.
Justeru, katanya, kerajaan menghargai kerjasama sektor awam dan swasta dalam menjayakan misi kebajikan melalui pendekatan ‘whole-of-society’ dengan penambahbaikan yang lebih strategik dan tersusun.
“Sumbangan daripada rakan-rakan strategik JKM ketika bencana adalah sangat membantu dan diperlukan dalam memenuhi keperluan semua mangsa.
“Apa yang diharapkan adalah mereka yang terkesan dapat dibantu tanpa mengambil kira latar belakang dan tiada seorang pun akan tertinggal,” katanya sempena Majlis Apresiasi Rakan Strategik JKM Tahun 2025 di Bangi Resort Hotel, dekat sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyarankan pusat penyelarasan sumbangan bencana JKM-Rakan Strategik diwujudkan di setiap negeri supaya agihan bantuan lebih terurus serta menjadi markas untuk menggerakkan pasukan sukarelawan
Selain itu, kata beliau, teknologi digital, termasuk aplikasi atau portal khas perlu dimanfaatkan untuk rakan strategik menyalurkan maklumat stok bantuan, lokasi keperluan, dan status agihan secara masa nyata.
“Seterusnya, saya menggalakkan rakan-rakan strategik JKM yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan bencana agar turut menyumbang dalam bentuk latihan kesediaan bencana kepada komuniti berisiko,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, JKM sehingga kini bertanggungjawab terhadap 8,417 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh Malaysia yang telah menampung 2.18 juta mangsa.
Tambah beliau, sepanjang musim Monsun Timur Laut tahun 2024/2025, JKM menguruskan 1,612 buah PPS yang dibuka dengan menyediakan penempatan sementara kepada 343,248 mangsa daripada 101,540 keluarga di 12 buah negeri.
“Ini bukan angka kecil, ini nyawa yang kita selamatkan bersama. Saya memahami cabaran dihadapi JKM. Lihat saja di Pasir Mas (Kelantan), pejabat JKM cuma ada 40 kakitangan, tetapi perlu urus 72 PPS dan menyantuni 39,908 mangsa melibatkan 13,014 keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE