SHAH ALAM – Perbalahan antara kongsi gelap dipercayai menjadi punca seorang ahli perniagaan mati ditembak di hadapan sebuah kedai motosikal di Taman Meru Utama, Meru, Klang dua minggu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 46 tahun itu merupakan salah seorang daripada ahli kongsi gelap.
Katanya, susulan itu, polis telah menahan dua lelaki berusia 25 dan 40 tahun yang bekerja sendiri.
“Dua suspek yang ditahan juga anggota kongsi gelap. Motif utama adalah perbalahan antara kongsi gelap, sama ada melibatkan perebutan kawasan atau aktiviti dadah, ia masih dalam siasatan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, kes tembakan itu bukan secara rambang, sebaliknya memang disasarkan kepada mangsa itu, namun beliau menolak andaian pembunuhan itu dilakukan penembak tepat.
“Siasatan masih dilakukan sama suspek diupah atau ahli kumpulan kongsi gelap itu,” katanya.
Kata Hussein, pihaknya juga sedang melakukan siasatan lanjut terhadap keseluruhan kumpulan kongsi gelap yang terlibat dalam kes ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut ditembak dipercayai bahagian kepala di hadapan sebuah kedai motosikal di Taman Meru Utama, Meru, Klang.
Kes tembakan pada 20 Jun lalu itu diketahui selepas polis menerima panggilan pukul 3.37 petang.
Dalam kejadian pada 20 Jun lalu tersebut, polis menerima panggilan pukul 3.37 petang dengan menemukan mayat warga tempatan di tempat duduk pemandu dalam keadaan mengiring. – KOSMO! ONLINE