ALOR SETAR – Jabatan Penjara mencatatkan kejayaan signifikan menerusi pelaksanaan program pemulihan banduan dalam komuniti dengan kadar pengulangan kes (recidivism) yang amat rendah iaitu hanya 0.28 peratus pada tahun lalu.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan) Ahmad Faudzi Awang berkata, kadar itu jauh lebih rendah berbanding 11.6 peratus dalam kalangan individu yang dilepaskan kepada masyarakat tanpa melalui proses pemulihan tersebut.
“Jadi berdasarkan kejayaan daripada prospek program ini, memang hasrat kita dan juga hasrat kerajaan untuk kita menambah dan memperkasakan program pemulihan dalam komuniti ini.
“Untuk menjayakan program pemulihan dalam komuniti ini, tidak boleh elak kita memerlukan kerjasama yang erat daripada masyarakat, khususnya pemain-pemain industri di negara kita,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Penjara Kedah di sini hari ini.
Pada majlis itu, Timbalan Komisioner Penjara (TKP) Charin Promwichit mengalih alih tugas daripada TKP Rahmat Abdul Rani.
Beliau menambah, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa pendekatan pemulihan secara inklusif, Jabatan Penjara akan terus mengembangkan program pemulihan dalam komuniti dengan sokongan padu pelbagai pihak, terutaman sektor industri.
“Sehingga kini, sebanyak 689 pemain industri dari seluruh negara berdaftar dan bekerjasama dengan jabatan tersebut dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada prospek yang mengikuti program pemulihan.
“Setakat ini, lebih 7,500 peluang pekerjaan disediakan oleh sektor industri merangkumi lima sektor utama iaitu perkhidmatan, perdagangan, perhotelan, perkhidmatan dan perladangan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE