SEOUL – Seorang anggota tentera di Korea Selatan menempa nama dalam Guinness World Records selepas melakukan senaman mendagu sebanyak 11,707 kali dalam masa 24 jam, lapor stesen penyiaran NDTV kelmarin.
Oh Yohan mencatatkan rekod dunia lelaki paling banyak melakukan senaman mendagu.
Percubaan itu dilakukan di bandar Incheon bermula 28 hingga 29 September tahun lalu sebelum dia diiktiraf secara rasmi kelmarin.
Yohan melakukan sebanyak 11,707 mendagu untuk memberi penghormatan kepada unit ketenteraan di mana dia pernah berkhidmat.
“Saya pernah berkhidmat dalam Kumpulan Misi Khas Republik Korea ke-707. Demi memperingati nombor 707, saya menamatkan cabaran pada 11,707,” kata Yohan.
Kejayaan itu tidak hadir mudah kerana dia terpaksa meluangkan masa untuk isterinya yang bakal melahirkan anak kedua mereka.
“Persiapan untuk memecahkan rekod serupa buat kali kedua ini sangat sukar sehingga saya tidak kisah jika gagal. Saya hanya mahu melarikan diri daripada tekanan setiap hari,” tambahnya.
Dia pernah mencatatkan rekod dunia kategori tersebut sebelum ini tetapi pencapaiannya diatasi dalam masa kurang seminggu. – AGENSI