TANAH MERAH – Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) kategori intelektual didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas di Kampung Buluh, Gual Ipoh di sini kira-kira dua minggu lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang berusia 18 tahun selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini.
Pengakuan tidak direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa membunuh Shamsudin Mohamed, 60, di tepi jalan sebelah kedai runcit dekat Kampung Buluh, Gual Ipoh di sini kira-kira pukul 6 hingga 6.30 petang pada 19 Jun lalu.
Remaja itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, boleh disebat tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam selain mahkamah menetapkan 2 September depan untuk sebutan semula kes.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang remaja lelaki yang telah lama berdendam dengan seorang warga emas bertindak ganas memukul mangsa sampal mati mengunakan cota besi di Kampung Buloh Ipoh di sini pada 19 Jun lalu.
Suspek berang apabila mangsa selalu menegurnya kerana sering menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan kampung.
Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, mangsa, Shamsuddin yang mengalami kecederan parah pada muka meninggal dunia di lokasi kejadian selepas rebah akibat dibelasah remaja terbabit.
Suspek kemudian bertindak melarikan diri selepas pembunuhan itu. – KOSMO! ONLINE