KUALA SELANGOR – Kehilangan seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak lapan hari lalu terungkai selepas mayatnya ditemukan dalam parit kawasan kebun sawit di Kampung Kuantan di sini, semalam.
Lelaki dikenali sebagai Mohd. Rosli Mansor, 70, itu dilaporkan hilang kira-kira pukul 5.30 petang pada 22 Jun lalu selepas keluar dari rumahnya di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajuddin berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam mengenai penemuan itu, kira-kira pukul 4.26 petang.
Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati mayat mangsa telah reput dan berada dalam parit dalam keadaan telentang serta berpakaian lengkap.
“Polis menjumpai barangan miliknya dan pakaian sepadan dengan deskripsi Orang Hilang (OH) yang dilaporkan waris.
“Turut ditemui motosikal jenis Yamaha Ego yang digunakan mangsa ketika keluar dari rumah sebelum dilaporkan hilang,” katanya malam ini.
Tambah Azaharudin, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang bagi bedah siasat dengan siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tampil menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau balai polis berdekatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE