SHAH ALAM – Lima ahli kimia antara 18 suspek yang ditahan menerusi serbuan terhadap dua sindiket memproses dadah dalam rokok elektronik atau vape dan jus minuman, baru-baru ini.
Kesemua suspek melibatkan 12 warga tempatan, Taiwan (3) dan Vietnam (2) serta seorang warga China berusia 20 hingga 41 tahun ditangkap selama dua hari bermula 25 Jun lalu.
Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman tersebut berjaya merampas pelbagai jenis dadah termasuk kokain, methylenedioxymethamphetamine, bunga ganja, pil ekstasi dan erimin 5 dianggarkan lebih 506 kilogram yang bernilai RM26.9 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati kedua-dua sindiket ini masing-masing menjadikan unit kondominium dan rumah teres sekitar Ampang dan Pandan Perdana sebagai makmal memproses dadah.
Katanya, sindiket juga didapati menggunakan kereta sebagai stor penyimpanan dan penghantaran di ruang parkir masing-masing di pusat perdagangan sekitar Kuchai Lama, kondominium sekitar Taman Permata dan Jalan Kuchai Jaya serta Taman Connaught.
“Siasatan mendapati kedua-dua suspek telah bergerak aktif sejak Oktober dan Disember tahun lalu.
“Salah satu daripada sindiket iaitu berkaitan vape dipercayai menyewa dua unit kondominium pada harga RM6,000 setiap satu dan mampu mengaut keuntungan bersih sehingga RM200,000 sebulan,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Malah, kata beliau, sindiket berkaitan jus minuman dadah itu menerima upah antara RM3,000 hingga RM25,000 sebulan.
Hussein menambah, hasil siasatan mendapati pasaran dadah bagi sindiket ini untuk pasaran tempatan dan luar negara.
“Kita mendapati kesemua suspek terutama warga asing itu memasuki negara ini beberapa kali menggunakan visa pelancong.
“Dalam tempoh tersebut, mereka menubuhkan makmal dadah ekoran mempunyai ahli kimia yang berpengetahuan dalam memproses dadah,” katanya.
Jelasnya, kedua-dua sindiket tidak mempunyai kaitan dengan pasaran, pengguna dan jenis dadah berbeza.
“Mereka menjual dadah menggunakan penghantar masing-masing yang merupakan ahli sindiket. Mungkin ada dijual di pusat hiburan atau parti persendirian.
“Kita tidak menolak mereka mendapatkan bekalan dadah daripada negara jiran,” katanya.
Tegas Hussein, pihak turut menyita keseluruhan harta daripada sindiket bernilai RM1.35 juta termasuk lapan buah kereta pelbagai jenama, wang tunai termasuk mata wang Taiwan dan Dolar Amerika (USD) serta tujuh barangan kemas.
“Hasil ujian air kencing didapati 10 daripada kesemua suspek positif dadah dan empat suspek mempunyai rekod jenayah termasuk pemalsuan dokumen, ugutan jenayah dan ketenteraman awam.
“Menerusi penangkapan ini, kita berjaya melumpuhkan rantaian sindiket ini. Kesemua mereka direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE