LONDON – Kejutan berganda melanda Wimbledon 2025 apabila dua pilihan utama kejohanan, Daniil Medvedev dan Holger Rune tersingkir seawal pusingan pertama semalam.
Medvedez selaku bekas juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) tumbang kepada Benjamin Bonzi dari Perancis 6-7 (2/7), 6-3, 6-7 (3/7), 2-6 dalam masa tiga jam tujuh minit.
Kekalahan itu juga menandakan kali pertama Medvedev, 29, gagal melepasi pusingan pertama dalam tujuh penampilan di pentas Wimbledon biarpun sebelum ini mara ke separuh akhir pada edisi 2023 dan 2024.
Biarpun tersingkir awal, namun pemain Rusia di ranking kesembilan dunia itu kekal tenang dan berpuas hati dengan prestasi semasa, terutama selepas mara ke final kejohanan di gelanggang rumput Halle baru-baru ini.
“Saya datang ke sini dengan keyakinan. Tapi bila masuk perlawanan sebenar, semuanya boleh berubah. Ia bukan pasal panik. Saya tahu bila saya mula menang perlawanan sengit, saya boleh naik semula,” kata bekas pemain ranking pertama dunia itu.
Rune turut mengalami nasib malang apabila pilihan kelapan dari Denmark itu terpaksa akur dengan kekalahan dramatik kepada Nicolas Jarry dari Chile, 6-4, 6-4, 5-7, 3-6, 4-6 selepas lebih tiga jam berentap.
Kekalahan itu bermakna Rune sekali lagi gagal menembusi separuh akhir dalam mana-mana kejohanan Grand Slam dengan pencapaian terbaiknya di Wimbledon hanyalah suku akhir tahun lalu.
Penyingkiran Medvedev dan Rune menyaksikan laluan ke kelompok akhir tampak lebih terbuka buat nama-nama besar seperti Carlos Alcaraz, Jannik Sinner dan Alexander Zverev untuk menguasai gelanggang berprestij All England Club tahun ini. – AGENSI